Monday, May 14, 2012

Bersempena dengan ucapan rasmi penutupan kursus tulisan Jawi tiga hari anjuran KEMAS dan DBP tengah hari hari ini, 13 Mei 2012, hamba siarkan semula sajak yang hamba nulilkan untuk dideklamasikan oleh bekas pelajar UM hamba dalam program penyerapan budaya di Makasar pada tahun 2011.




Jawi Warisan Leluhur

Dengan angin dari tanah suci
nan datang membawa kesegaran
dengan angin dari tanah Nabi
nan sampai mengalih paksi perubahan

Dikau pendukung obor Risalah
Dikau penyebar kalam Allah
Dikau peneguh sendi akidah
Dikau pembentuk umah adabiah

Buah tangan bangsa cendekia
Mekar di jambangan persuratan nyata
Akidah, syariat, tasawwuf terpadu mesra
Terlakar utuh di paparanmu duhai aksara

Susastera nukilan pujangga bestari
Hikayat, ceritera dan segala peri
Dalam olahan prosa dan puisi
Subur tumbuh membentuk manusiawi

Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri
Syamsuddin al-Sumaterani, Abdul Rauf al-Singkili
Syekh Abdul Samad al-Falembani, Syekh Muhammad Arsyad al-Banjari
Syekh Daud al-Fatani, Tun Seri Lanang dan Raja Ali Haji
serta barisan ulama', pujangga dan karyawan sejati
membina rupa dan jiwa tamadun merentas sempadan negeri
di alam Kepulauan Melayu seluruhnya terbentuk bangsa Jawi
bangsa nan islami dan kukuh makna diri
dengan bahasa dan aksaranya yang memancarkan peribadi bestari
dalam warkah dan perjanjian dengan pelbagai kuasa dunia turut terpateri

Kini masihkah dikau di puncak mercu tamadun bangsa?
Masihkah dikau dihormati sebagai penyuluh perihal agama?
Masihkah dikau diangkat untuk melakar khazanah karya?
Masihkah dikau digilap untuk menopang wajah dan citra?

Duhai Jawi warisan leluhur
Mengapatah nasibmu menjadi punggur?
Di bumi Melayu dikau tak subur
Mungkinkah kelak dikau terkubur?

Ayuhai rakan ayuhi taulan
sekalian penguasa sekalian cendekiawan
Di tangan kita terletak peranan
Memekarkan Jawi di persada zaman

Usah kelak disesali nasib sejarah
Usah kelak ditangisi dengan air mata darah
Andainya kita tidak segera melangkah
Membulatkan azam memastikan Jawi bermaruah


~Kembara Bahasa~
Sesudah Subuh, 6 Jun 2011



Kembara Bahasa ialah Prof Awang Sariyan, Ketua Pengarah DBP Malaysia 


disalin letak dari https://www.facebook.com/groups/kembarabahasa/
digalakkan menjadi ahli kepada grup FB 'Kembara Bahasa'

No comments:

Post a Comment