Friday, November 25, 2011

[B]ahasa kita itu menunjukkan taraf sosial kita, iaitu "kebangsawanan" kita. - Prof Emeritus Abdullah Hassan

Oleh Profesor Emeritus Abdullah Hassan di Seminar Pengajaran Bahasa Melayu Ke-4 UPSI 21 Okt 2011


Saya merasa sangat dihargai apabila diberi kesempatan berucap selama 10 minit dalam sidang umum seminar ini. Saya meninggalkan pesan:

Bahawa mengajarkan Bahasa Melayu itu adalah sebuah tugas yang mulia, kita bertanggungjawab memberi kemahiran berkomunikasi kepada para siswa dan murid kita. Oleh sebab itu ajarkanlah bahasa yang sebaiknya. Ajarkan Bahasa Melayu Tinggi iaitu Bahasa Sekolah (menurut istilah Za'ba), Bahasa Persuratan iaitu bahasa orang terpelajar. Dan berhentilah daripada bertutur dalam Bahasa Melayu Rendah dalam kelas dan kuliah. Amalan menuturkan Bahasa Melayu Tinggi ini membolehkan murid dan siswa terdidik dalam menggunakan Bahasa Melayu Tinggi.

Kajian Basil Bernstein, sarjana sosiologi pendidikan, menunjukkan bahawa orang yang menuturkan neka Bahasa Tinngi itu, iaitu bahasa yang diasosiasikan dengan kelas berpendidikan dan kelas menengah sesuatu masyarakat, mempunyai peluang yang lebih baik bagi mencipta mobiliti sosial untuk dirinya. Ini bermaksud dia dapat berpindah daripada kelas rendah ke kelas menengah.

Di samping itu, orang yang menuturkan bahasa Tinggi itu dilihat sebagai orang terpelajar dan orang yang berkebolehan. Sebuah contoh yang jelas adalah, bayangkan Presiden Obama, semasa berkempen dahulu menggunakan bahasa Inggeris orang berkulit hitam, rasanya payah beliau meyakinkan warga Amerika mengundi beliau menjadi presdien.

Dengan demikian, berilah perhatian, dan didiklah anak-anak kita supaya:

1. Menggunakan sebutan yang betul, dan menyebut semua huruf seperti diejakan,
2. Menggunakan imbuhan dalam menerbitkan perkataan selengkapnya,
3. Menyusun perkataan dalam frasa seperti lazimnya dibuat oleh penutur bahasa Melayu yang berpendidikan,
4. Menggunakan perkataan penuh, dan pastikan tidak ada perkataan kontot atau yang sengaja dipendekkan seperti dalam pertuturan harian,
5. Membentuk ayat selengkapnya, supaya jelas terlihat subjek, predikat, dan keterangannya.
6. Menggunakanlah perkataan dengan bantuan kamus, dan
7. Menggunakan sistem sapaan dan ganti nama yang lengkap. Elakkan daripada menyapa orang dengan panggilan, adik, abang, kakak, pakcik dan makcik. Sapalah orang dengan panggilan hormat, Cik, Tuan, Puan, dan Cikpuan, atau dengan menggunakan bentuk sapaan yang sewajarnya, dan
8. Mengambil kira semua aspek budaya dalam berkomunikasi.

Apabila ini dilakukan, baharulah kita dapat menjiwai ungkapan "Bahasa Menunjukkan Bangsa." Perkataan "bangsa" dalam ungkapan ini tidak merujuk kepada bangsa etnik India, Cina, Melayu, Inggeris, atau lain-lain. Ungkapan ini wujud sebelum kaum India dan Cina datang ke dunia Melayu lagi. Ertinya adalah, bahasa kita itu menunjukkan taraf sosial kita, iaitu "kebangsawanan" kita.

Adakah kita datang daripada kelas berbangsa, atau bangsawan.




sumber: https://www.facebook.com/photo.php?fbid=2516854638204&set=a.2515184516452.2140964.1158372618&type=3&theater

No comments:

Post a Comment