Wednesday, November 23, 2011

Terkandasnya pejuang bahasa Melayu??????

Terkandasnya pejuang bahasa Melayu
Posted on Tuesday, November 22 @ 04:54:47 PST by paktam

Open Artikel
Oleh DR SOHAIMI ABDUL AZIZ
ANGIN kesungguhan TPM memartabatkan bahasa Melayu juga menyapa Kementerian Pengajian Tinggi yang mengumumkan bahawa penhttp://shamsuliskandar.files.wordpress.com/2011/10/boikot_ppsmi5b15d.jpg?w=300syarah yang ingin dinaikkan pangkatnya perlu menulis dalam BM. Syarat ini dilihat seperti satu usaha untuk mengembalikan martabat BM di pusat-pusat pengajian tinggi di mana kursuskursus sains dan teknologi diajar dalam bahasa Inggeris.



Tegasnya, acara-acara bahasa ini semacam satu gerakan baru yang ingin mendaulatkan BM yang sebenarnya telah membina satu zon selesa yang kuat tarikannya kepada pejuangpejuang bahasa yang mula lalai.
Pejuang bahasa Melayu terpukau dengan janji-janji manis yang menyedapkan telinga dan membutakan fikiran mereka melalui peristiwa-peristiwa ini.
Golongan pro-PPSMI seperti PAGE yang melihat PPSMI sedang terancam mengorak langkah dengan lebih berani lagi. NGO ini membuat beberapa strategi seperti mengantar memorandum kepada PM supaya PPSMI diteruskan. Bukan itu sahaja, mereka membuat ugutan bahawa mereka akan berkempen agar rakyat tidak mengundi pemerintah yang ada.
Selain menghantar memorandum kepada PM, PAGE juga menggunakan akhbar iaitu akhbar The Star (yang memang pro-PPSMI) untuk memperluaskan  pengaruhnya agar dilihat mewakili suara terbanyak dalam masyarakat. Star digunakan untuk menggambarkan PPSMI itu sangat penting diteruskan demi membangunkan Malaysia dengan sains dan teknologi.
PPSMI perlu diteruskan bagi menjadikan Malaysia berdaya saing di dalam konteks capital manusianya. Persepsi ini terus dipupuk dan diperkasakan.
Selain itu, persepsi masyarakat dibina untuk menggambarkan bahasa rakyat Malaysia sangat lemah dalam penguasaan BI. Para graduan tidak dapat bekerja disektor swasta kerana masalah BI.
Bagi kumpulan ini, usaha TPM untuk memansuhkan PPSMI digambarkan sebagai usaha ke belakang alam memajukan rakyat Malaysia dengan BI. Adakah akhbar-akhbar berbahasa Melayu berusaha membina persepsi positif masyarakat tentang perlunya PPSMI dihapuskan?
Selain eksploitasi terhadap Star secara terancang, PAGE juga menggunakan media sosial untuk mengambarkan betapa PPSMI diperlukan. Usahausaha PAGE dan NGO yang lain membuahkan gelombang berkesan untuk membina persepsi yang positif tentang PPSMI dan negatif tentang usaha menghapuskan PPSMI.
Kelalaian ini digunakan NGO seperti PAGE. Pejuang bahasa Melayu tewas dan diketawakan.
Pejuang BM terus lena dan terpukau dengan lagu-lagu yang didendangkan TPM. Mereka yakin keputusan TPM untuk memansuhkan PPSMI dengan segera akan menjadi realiti.
Zon selesa yang menjadi zon penyakit pejuang BM menghakis kekuatan semangat mereka dan hal ini melumpuhkan impian dan harapan mereka untuk melihat BM di tempat sewajarnya.
Kini, ada pejuang BM terus dibuai mimpi untuk mengharap BM akan terbilang selepas 2021. Sebenarnya pejuang BM ini kelemasan dalam dakapan orang politik yang belum tentu dapat menunaikan janji mereka.
Jika pejuang BM itu tidak mahu sedar bahawa BM yang mereka perjuangkan itu telah dikubur maka entah apa yang boleh dibuat.
Tidak keterlaluan jika dikatakan pejuang BM yang tulen dan bijaksana sebenarnya sukar dicari. Apa yang hendak dikatakan lagi. Berdasarkan senario sekarang, BM sudah tidak begitu bermakna dan mungkin akan menjadi bahasa kelas kedua untuk orang kelas kedua juga. Jika kita melihat reaksi pembaca kepada berita PPSMI di internet, betapa hinanya BM pada pandangan mereka. Bagi mereka BM ini layak hanya digunakan oleh orang yang bekerja di kebun atau yang berada di kampung.
Oleh itu, jangan bermimpi BM akan terjamin kedaulatannya pada 2021 jika ada pejuang bahasa yang masih percaya kepada pemimpin politik yang bercakap tentang BM dan memperjuangkannya. Ramai pula pejuang BM hanya bersemangat apabila ada pemimpin politik memayungi mereka sedangkan mereka juga tahu janji pemimpin politik tidak boleh selalu dipegang.
Pejuang BM perlu bertindak sebagai badan pendesak yang berani dan mempunyai strategi bijak untuk menyaingi PAGE dan NGO lain. Pejuang BM perlu pandai bermain politik dan bukan menjadi alat tunggangan orang politik. Pemimpin politik Melayu yang jujur juga harus menggunakan NGO pendesak ini untuk memperkuatkan tuntutan mereka. Malangnya kebanyakan pemimpin politik Melayu memang tidak jujur terhadap BM, maka bagi mereka tidak perlu NGO pendesak ini untuk membantu mereka.
Pejuang BM mesti membentuk satu strategi baru yang lebih berkesan. Mereka perlu berani dan membuat perancangan bijak untuk membentuk satu kesedaran massa yang kental tentang memartabatkan BM.
Pemerintah perlu disedarkan tentang keperluan kepada BM bukan setakat nilai ekonominya tetapi lebih daripada itu. BM sebagai alat perpaduan, jati diri dan identiti.
Persepsi masyarakat terhadap kekuatan dan keperluan kepada BM perlu dibentuk dan pembentukan ini berpanjangan dan bukan bersifat bermusim.
Kelestarian persepsi ini amat diperlukan. Pejuang BM perlu berani, bijaksana, pandai membaca politik, dihormati, jujur, tegas dan punya daya juang yang kental. Program-program yang dibuat perlu digemblengkan dengan gerakan massa dan bukan syok sendiri.
Gunakan dan pelbagaikan pendekatan dan media. Pejuang BM perlu bangkit dan berada di mana-mana, dari pelbagai latar belakang. Kebangkitan massa tidak boleh dilengahkan lagi kerana harapan untuk memartabatkan BM telah semakin hilang dan tidak mungkin bercahaya lagi.
PAGE yang bergembira dengan kejayaan kecil ini pasti akan membuat perancangan jangka pendek dan jangka panjang untuk memperjuangkan PPSMI dan penghapusan PPSMI akan diterbalikkan. Segala ruang dieksploit sama ada dengan kuasa politik ataupun media. Mereka mempunyai pemimpin yang komited tetapi sesetengah pejuang BM mudah terpesona dengan janji sang pemimpin politik Melayu yang mengutamakan survival politik daripada keberadaan bahasanya.
Tahun 2021 masih jauh dan berliku. Pelbagai perkara akan berlaku. Pengisian untuk memperkasakan BM perlu dirancang dengan teliti dan bersepadu. Kejujuran kepada BM itu sangat perlu. Apa yang berlaku, BM telah dibongsaikan dan dihina pemimpin Melayu yang mempunyai agenda politik yang lebih besar berbanding dengan bahasanya. Jika pejuang BM tidak mahu berubah, mereka bolehlah mengatur langkah untuk mentalkinkan BM yang sudah dibawa ke kubur

No comments:

Post a Comment