Saturday, November 12, 2011

Berdaya huni <> Livable <> Boleh Dihuni

ARKIB : 24/11/2009

Pembangunan mapan utamakan rakyat



ISU pembangunan mapan sering diperdebatkan sejak konsep ini diperkenalkan pada 1987 dalam Laporan Bruntland. Pembangunan mapan atau lestari memberi implikasi berbeza terhadap asas perancangan negara sama ada fizikal, sosial mahupun ekonomi.
Ia bermakna perlu wujudnya keseimbangan daripada segi ekonomi, alam sekitar dan sosial serta budaya masyarakat. Namun persoalannya adakah wujud keseimbangan yang dimaksudkan itu atau yang kita cari selama ini?
Rentak dan irama pembangunan telah berubah sejak Sidang Kemuncak Bumi Rio de Jeneiro pada 1992. Semua negara diberi amaran tentang perlunya manusia menjaga dan memulihara alam sekitar sewaktu giat mengejar kemajuan. Walaupun begitu, konsep pembangunan mapan itu sukar untuk ditakrif, difahami dan lebih-lebih lagi digunakan dalam aspek pembangunan negara. Ia telah mengundang perbahasan berterusan.
Kepelbagaian takrif tentang pembangunan mapan muncul berikutan keperluan untuk menyesuaikan tuntutan pembangunan mapan dengan keadaan setempat sesebuah negara. Lazimnya, konsep ini dikaitkan dengan suatu bentuk pembangunan seimbang. Ekonomi tumbuh segar bagi membina kekayaan. Kekayaan pula digunakan untuk membangunkan jati diri masyarakat. Dalam masa yang sama alam sekitar yang masih segar perlu dijaga dan dipelihara sementara yang rosak dipulihara. Ini supaya nikmat kemajuan masa kini boleh pula dinikmati oleh generasi akan datang.
Justeru, pembangunan itu harus seimbang antara ketiga-tiga komponen pembangunan mapan tadi.
Namun harus disedari bahawa sesuatu yang berada dalam keadaan keseimbangan itu tidak mungkin akan dapat melonjakkan perubahan. Jadi sebagai negara yang bergerak ke taraf negara maju, keseimbangan pembangunan perlu diperhalusi.
Hingga kini Malaysia belum memiliki takrifnya sendiri tentang pembangunan mapan. Walaupun begitu, prinsip-prinsip asas pembangunan mapan telah diterima pakai oleh Malaysia. Negara juga mempertahankan ekuiti antara generasi dalam tanggungjawab pembangunan, membangun hubungan manusia dengan alam sekitar yang lebih beretika, meningkatkan amalan terbaik bagi kegiatan dalam dunia korporat dan sebagainya. Kini, agenda pembangunan di setiap negara menggunakan konsep mapan bagi mendasari program pembangunan masing-masing.
Switzerland telah memberikan iltizam tanpa berbelah bagi untuk menggerakkan pembangunan berlandaskan konsep tersebut dengan memasukkan pembangunan mapan ke dalam perlembagaan negaranya. Sementara negara-negara miskin di Afrika mengubah suai konsep itu dengan menekankan soal pembangunan beretika.
Walaupun Malaysia mengamalkan prinsipprinsip mapan tetapi pembangunan di negara ini mengikut acuannya sendiri dengan tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi segar, kelestarian sosial diperteguhkan walaupun pada ketika tertentu alam sekitarnya terpaksa dikorbankan.
Oleh kerana Malaysia sendiri masih belum dapat menggerakkan secara lebih terarah intipati pembangunan mapan itu, negara terusterusan dihantui oleh pelbagai isu yang amat pelbagai sifatnya.
Daripada isu sampah-sarap yang terbiar hinggalah kepada perumahan terbengkalai. Ia mengundang pelbagai reaksi.
Apa yang tersirat di sebalik falsafah pembangunan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang jarang disentuh ialah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaya huni (livable country).
Pertumbuhan ekonomi yang tinggi dituntut untuk menjana pembangunan. Pembangunan modal insan yang berintegriti, beretika dan beriltizam; serta penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar menjadi tunjang pembangunan lestari yang mendasari prinsip negara berdaya huni.
Ketiga-tiga aspek tersebut perlu diharmoni dan diserasikan untuk memacu negara ke mercu kejayaan. Gagasan ini diperlihatkan melalui Wawasan 2020 dan diperhalusi menerusi Misi Nasional 2057. Lebih nyata, gagasan ini diterjemahkan melalui pembentangan Bajet 2007, 2008, 2009 dan diperteguhkan lagi dalam Bajet 2010.
Setelah menempuh tahun-tahun yang sukar untuk mencapai pembangunan yang diimpikan pada awal kurun ke-19, segala sumber semulajadi - bijih timah, hutan dan getah - telah disedut ke negara Britain untuk menyokong Revolusi Industri di sana.
Kini kita sendiri mengemudi negara menuju ke sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Walaupun demikian, pemusnahan alam sekitar pastinya berlaku untuk membangunkan kawasan pertanian. Dan setelah sekian lama, asakan pembangunan yang hebat ini kemudiannya merubah kawasan pertanian menjadi kawasan tepu bina atau bandar. Malahan ada juga kawasan yang berhutan bertukar menjadi kawasan perumahan, industri dan komersial.
Penduduk bandar melebihi jumlah 70 peratus penduduk negara ini. Namun jika mengikut sesetengah takrifan kawasan bandar, hampir 90 peratus penduduk Selangor kini tinggal di kawasan perbandaran. Justeru, adalah amat wajar untuk menubuhkan sebuah kementerian yang menjaga kepentingan warga bandar yang rata-ratanya berada di kalangan kelas bawahan dan selebihnya kelas menengah dan atasan.
Keputusan kerajaan untuk menukar nama Kementerian Wilayah Persekutuan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar semasa pembentangan Bajet 2010 amat dialu-alukan. Ia bukan sahaja akan memberikan kelegaan kepada warga bandar tetapi juga untuk meneruskan kelangsungan politik kerajaan sendiri kerana tidak semua penduduk bandar yang mampu mengharungi kehidupan yang kian mendesak.
Sebagai negara yang pesat membangun, Malaysia terpaksa juga berdepan dengan pelbagai kebenaran yang boleh menggugat kesejahteraan warga bandar. Malah menggugat keutuhannya sebagai sebuah negara merdeka dan akhirnya boleh menafikan gagasan Satu Malaysia.
Salah satu kebenaran yang terus-menerus menggegar ketenangan warga bandarnya adalah kemiskinan. Warga bandar dilihat paling mudah terancam (vulnerable) kerana peningkatan harga petroleum yang berterusan misalnya akan terus menggugat rentak kehidupan masyarakat bandar yang bergantung sepenuhnya kepada sumber tenaga tersebut untuk sebarang aktiviti ekonomi mahupun sosial.
Sementara jumlah warga yang diisytihar muflis, terlibat dengan pinjaman ah long, hutang kad kredit menunjukkan kehidupan di bandar yang kian mencengkam warganya.
Satu-satunya jalan terbaik untuk keluar dari situasi itu ialah meluaskan amalan cara hidup beretika. Amalan yang sewajarnya dimulakan dari dalam diri setiap insan untuk memastikan kehidupan mereka akan terus berada di dalam kesejahteraan pada masa kini dan masa hadapan.
Hubung kait antara pembangunan mapan yang diterjemahkan dalam bentuk bandar lestari dengan menelitinya melalui konsep bandar berdaya huni (livable city).
Konsep daya huni (livable) digembleng untuk meneliti aspek kelestarian bandar dalam konteks pembangunan lestari memberi makna bahawa penduduknya sentiasa ceria, sibuk dengan pelbagai aktiviti ekonomi, sosial dan fizikal yang segar, hening kehijauan, selamat, menarik dan sihat.
Maka tumpuan adalah terhadap masyarakat dan kehidupan harian sebagaimana yang dijelmakan dalam aspek pemikiran urbanisme baru. Ciri-ciri daya huni itu dirungkai menerusi kesan tindakan penduduk dalam kawasan perbandaran yang menggunakan perkhidmatan bandar setiap hari. Pendekatan itu membolehkan pemerhatian dibuat menerusi ruang dan masa dalam jangka singkat seperti dalam satu putaran harian.
Kumpulan penyelidik yang menggelarkan kumpulannya sebagai Kumpulan Penyelidikan Pembandaran Lestari (Sustainable Urbanization Research Group), di Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kini secara berterusan dan aktif melihat isu-isu pembangunan dan pembandaran mapan serta meneroka makna dan permasalahan yang berkait dengannya melalui konsep bandar berdaya huni tadi.
Konsep ini yang diartikulasikan menerusi keberdayahuniannya yang menjadikan bandar itu lebih "hidup dan menceriakan" penghuninya dari semua lapisan etnik dan peringkat umur. Sesuatu bandar itu sewajarnya bersih, penuh kehijauan, sihat, selamat, mempunyai daya tarikan sosioekonomi, wujud pertumbuhan ekonomi dan sebagainya. Semua komponen ini apabila wujudnya akan membawa kepada kesejahteraan bandar.
Dalam mengartikulasikan bandar berdaya huni ini, kepentingan pelbagai pihak diambil kira untuk membolehkan pengumpulan maklumat dan data yang lebih menyeluruh dari alam sekitar tabii, alam sekitar binaan, aktiviti ekonomi, dan aspek sosio-budaya masyarakatnya. Konsep daya huni bandar ini juga cuba melewati aras antara disiplin dan transdisiplin dalam penghayatan dan pengukuran bandar berdaya huni dan memenuhi hasrat besar negara untuk mencapai kesejahteraan yang diidamkan.
PENULIS ialah Felo Penyelidik dan Pensyarah Kanan, Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm
tarikh capaian: 12 November 2011

No comments:

Post a Comment